Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017.
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu disiasat pihak polis kerana memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai dalang di sebalik kekecohan dalam program Nothing to Hide 2.0.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sehingga kini tiada bukti kukuh menguatkan dakwaan Azmin itu sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan jijik pemimpin pembangkang.
“Kita tahu membuat satu tuduhan tanpa bukit terutama sekali tuduhan jelik lebih-lebih lagi kepada Perdana Menteri Malaysia ini satu perbuatan kita sifatkan sebagai fitnah yang cukup melampau.
“Sehingga kini, langsung tiada bukti yang menyokong Datuk Seri Najib yang menyuruh melakukan kekacauan ini hingga ada nyalaan api suar dan balingan bangku,” katanya pada sidang media luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.
Terdahulu, Zulkarnain membuat laporan polis terhadap Mohamed Azmin berhubung satu kenyataannya di laman web rasmi Menteri Besar Selangor itu pada 13 Ogos lalu mendakwa Perdana Menteri bertanggungjawab di sebalik kekecohan yang timbul dalam program Nothing To Hide 2.0.
Azmin dalam kenyataan itu berkata, setelah takut berhujah, Najib menggunakan gangsterisme untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia adalah tindakan pengecut.
Kata Azmin lagi, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan jenayah dan tindakan tidak bertamadun penyokongnya dalam program anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin kerajaan negeri dan insiden itu seolah-olah mempunyai hubung kait dengan Mohamed Azmin.
“Sehingga sekarang saya sendiri tidak faham kenapa Mohamed Azmin boleh keluar kenyataan sebegitu seolah-olah insiden ini ada kena-mengena dengan Azmin.
“Kita sifatkan satu kenyataan yang cukup jelik, jijik dan tidak selayaknya dikeluarkan oleh pemimpin seperti Mohamed Azmin,” tegasnya.
Sebaliknya Zulkarnain berkata, Perdana Menteri hari ini sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah dan tidak menyekat kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan berbanding pemimpin terdahulu.
“Ketika zaman Reformasi, peserta dipukul dengan belantan, ditembak dengan gas pemedih mata dan insiden Memali, hanya tunjuk perasaan saja, berapa nyawa telah terkorban.
“Tiada satu insiden yang boleh kaitkan Perdana Menteri yang mahu menghalang apa-apa saja perhimpunan sama ada anjuran Mahathir mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.
Katanya lagi, Perdana Menteri berjaya mengamalkan kebebasan bersuara itu dengan begitu baik hingga akhbar lidah rasmi parti pembangkang bebas dijual kepada semua pihak.
“Akhbar pembangkang pun tak dijual macam dulu, seperti Harakah dahulu kena jual kepada ahli sahaja.
“Mana mungkin kita boleh menuduh Datuk Seri Najib cuba menghalang suara demokrasi seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette