Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Dan Pendatang Asing Tanpa Izin di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR -Kerajaan bersetuju untuk menambah kekerapan pemeriksaan kesihatan terhadap pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan peningkatan kes penyakit berjangkit.

“Mulai 1 Januari 2018, pekerja asing diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sedia ada.

“Pekerja asing perlu menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan dan saringan tambahan.

“Empat sesi berikut ialah sebelum berlepas ke Malaysia, dalam tempoh sebulan selepas berada di negara ini, pada akhir tahun pertama, dan akhir tahun kedua,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pekerja asing yang terikat dengan tempoh penggajian maksimum 10 tahun perlu menjalani pemeriksaan kesihatan tambahan setiap dua tahun, iaitu pada tahun keempat , keenam, kelapan dan kesepuluh.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa hari ini mengambil maklum bahawa majikan juga lebih cenderung untuk menggajikan pekerja asing kerana kos yang lebih rendah.

Tambah beliau, bagi menggalakkan penggajian pekerja tempatan terdapat cadangan meningkatkan levi secara progresif dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan ia dipersetujui.

“Kadar levi progresif berdasarkan bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan bermula pada tahun 2019.

“Ia akan dilaksanakan selepas sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang kepentingan lain dibuat,” ujarnya.

Setakat 31 Julai 2017 terdapat 1.758 juta pekerja asing di negara ini berbanding 2.135 juta orang pada 2015. – MalaysiaGazette