Dr. Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Kalau sebelum ini ada kenyataan mendakwa PKR bakal mengadakan kerjasama dengan Pas, itu bukan satu gurauan.

Sebaliknya diakui sendiri oleh Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan, parti itu tidak menolak kemungkinan kerjasama itu berlaku.

Menyedari gabungan parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) tidak menjamin kemenangan besar PKR di Selangor, seterusnya parti itu secara bersendirian cuba memujuk Pas agar bersamanya melawan Barisan Nasional (BN) dan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Dalam kenyataan terbaharu Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh hari ini, beliau berkata, sungguhpun tahaluf siyasi antara PKR dengan Pas sudah terputus, tetapi mereka masih berkongsi matlamat untuk menjatuhkan kerajaan Persekutuan.

“Memang tujuan kita adalah menjatuhkan BN dan UMNO. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu (kemenangan), kita akan cuba,” katanya.

Isnin lalu, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dilaporkan sebagai berkata, parti itu masih membuka pintu kerjasama dengan Pas untuk menghadapi PRU 14.

Katanya, walaupun Pas bukan komponen PH, PKR masih sudi membincangkan pilihan untuk mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Nada PKR itu bertentangan dengan rakan komponen PH iaitu DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang bersedia bertarung walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru.

PKR berlembut hati setelah kerajaan Pas Kelantan semalam, mengumumkan kerajaan negeri itu memutuskan untuk mengekalkan kerjasama politik dengan parti itu dan dipersetujui Biro Politik PKR pusat. – MalaysiaGazette