PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan akan mendengar esok permohonan Tun Dr Mahathir Mohamed agar prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dijadual diadakan pada Isnin, ditangguhkan.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Dr Mahathir, memberitahu pemberita bahawa pendengaran permohonan itu akan dibuat secara sebelah pihak.

Notis usul bagi memohon penangguhan prosiding RCI itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan tengah hari ini.

Mohamed Haniff berkata mereka memohon prosiding RCI itu ditangguhkan sementara menungggu pendengaran rayuan Dr Mahathir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kebenaran beliau untuk memulakan semakan kehakiman.

Kata peguam itu, beliau telah memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara tentang tarikh pendengaran itu dan salinan cetakan dokumen berkenaan juga telah diserahkan kepada jabatan itu.

Dr Mahathir memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan RCI menolak permohonannya agar dua daripada lima anggota suruhanjaya itu, yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an, disingkir.

Pada 8 Ogos, RCI menolak permohonan Dr Mahathir untuk mengetepikan pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Tan Sri Saw Choo Boon daripada menganggotai RCI berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi ketika membenarkan bantahan kerajaan terhadap permohonan kebenaran oleh Dr Mahathir untuk mendapatkan semakan kehakiman, memutuskan bahawa RCI tidak mempunyai bidang kuasa tentang pelantikan dan penyingkiran anggotanya.

Mohamed Haniff juga mengesahkan bahawa satu notis rayuan telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak pemohonan kebenaran oleh Dr Mahathir untuk mendapatkan semakan kehakiman.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 9 Ogos, Dr Mahathir memohon perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan RCI.

Beliau menamakan anggota RCI itu, Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, ketua pegawai eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Saw, yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah), anggota Institut Akantan Malaysia K. Puspanathan, setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dr Mahathir memfailkan permohonan dengan memberi alasan RCI itu mencabuli keadilan asasi kerana Mohd Sidek dan Saw juga adalah anggota pasukan petugas yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengemukakan syor bagi menasihati kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya berkenaan.

— BERNAMA