Razalee beri amaran kepada ADUN Batu Tiga

SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam memberi amaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail agar tidak mempolitikkan isu usaha memansuhkan Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga Lebuh Raya Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Razalee Ahmad berkata, UMNO Bahagian itu memperjuangkan pemansuhkan kedua-dua tol berkenaan sejak era Ketua UMNO, Datuk Ahmad Nawawi M. Zain pada 2012 lagi.

Katanya, kalau ADUN PKR itu hendak menjadi jaguh, beliau seharusnya menuntut kerajaan Selangor memansuhkan Plaza Tol Kesas di Lebuh Raya Klang-Shah Alam, bukan mempermainkan usaha UMNO Bahagian itu yang berjuang mahu Kerajaan Persekutuan memansuhkan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga.

“Saya nak beritahu Rodziah, isu Tol Sungai Rasau dan (Tol) Batu Tiga ini tolong jangan dipolitikkan. Perkara ini telah dibawa oleh UMNO Bahagian Shah Alam untuk sekian lamanya dari sejak kepimpinan (Datuk) Ahmad Nawawi pada tahun 2012.

“Sehingga kini di bawah kepimpinan Datuk Azhari Shaari (Ketua UMNO Bahagian) tetap memperjuangkan untuk menghapuskan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberi amaran, jika Rodziah mempolitikkan isu itu dan andai kata usaha untuk memansuhkan kedua-dua tol itu gagal, UMNO Bahagian tidak teragak-agak menyalahkan wakil rakyat PKR itu.

Kelmarin, Rodziah menerusi kenyataan medianya meminta UMNO Bahagian itu agar tidak bersikap hipokrit dengan mengusulkan pemansuhan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau kerana pembangkang seawal 2012 lagi sudah menggesa kerajaan memansuhkannya.

Belilau berkata, UMNO seolah-olah mahu menjadi jaguh kampung dalam isu tol menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam kenyataan itu, Rodziah turut meminta UMNO Shah Alam hentikan sandiwara dengan alasan parti itu selama ini tidak pernah endah masalah tol yang berpuluh tahun meghantui rakyat Selangor.

Razalee yang marah dengan mainan politik ADUN Batu Tiga itu seterusnya menggesa rakyat terutama dalam DUN Batu Tiga agar menolak Rodziah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini kerana tidak pernah berjasa membela kebajikan penduduk di situ. – MalaysiaGazette