Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali hari ini menyindir PKR agar melakukan taubat nasuha terlebih dahulu sekiranya masih mahu bekerjasama dengan parti itu pada masa akan datang.

Menurutnya, perkara itu mesti dilakukan PKR kerana sering menyerang parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, termasuk memfitnah bahawa Pas menerima dedak daripada UMNO.

“Macamana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang Pas dengan pelbagai tuduhan termasuk tuduhan fitnah Pas menerima dedak UMNO. PKR kena bertaubat nasuha dulu sebelum berhasrat untuk bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam, bahawa PKR tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pas dalam perbincangan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Azizah diminta mengulas mengenai kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan bertemu Barisan Nasional (BN) dan Pas di satu-satu kerusi pada PRU-14 akan datang.

Ini kerana Pas bertindak memutuskan hubungan dengan semua parti dalam PH termasuk PKR yang dibuat Mei lalu.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, kenyataan Azizah itu boleh disifatkan sebagai percubaan parti itu untuk menagih simpati Pas setelah merasakan kedudukan PH goyah terutamanya di Selangor.

“Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat di atas dunia. Ahli dan pimpinan Pas tidak sesekali akan dipatuk ular dua kali dalam hubungan dengan PKR.

“Mereka menyokong untuk Ahli Parlimen Pas melompat ke parti mereka ketika sedang bertahaluf. Mereka berpakat dengan mereka yang mengkhianati Pas ketika bertahaluf. Di mana semangat setiakawan?,” soal Khairuddin. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.