Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim menyaksikan Rektor UIAM, Datuk Seri Zaleha Kamaruddin (dua kiri) menyerahkan Sijil Ikrar Bebas Rasuah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad (kanan) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di UIAM, Gombak. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berasa terkejut dengan keengganan kerajaan negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui akhbar pagi tadi.

Ketika ditanya media mengenai hal itu, Dzulkifli sekadar menyatakan “I’m speechless (saya tak terkata)”.

“Biar rakyat menilai sendiri,” tambahnya.

Ditanya mengenai langkah seterusnya berhubung isu itu, Dzulkifli sekadar tersenyum dan mengulangi kenyataan, sekali gus enggan mengulas lanjut.

Semalam Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad menamatkan teka-teki bila Selangor akan melaksanakan IBR.

Iskandar menjelaskan Selangor mempunyai kaedah lebih baik dari SPRM bagi menjamin integriti semua pihak termasuk pegawai negeri.

Selain Selangor, semua negeri di Malaysia telah menandatangani IBR termasuk Kelantan semalam.

Dzulkifli ditemui selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.

Ikrar diketuai rektor UIAM, Profesor Datuk Sri Zaleha Kamarudin yang disertai kakitangan UIAM serta vendor yang terlibat dengan UIAM. – MalaysiaGazette

Comments are closed.