Bekas pegawai Tun Dr. Mahathir, Abdul Hameed B. Gula Maideen (tengah) bersama Pegawai Khas Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Shafik Abdullah (dua kanan) menunjukkan antara bukti kerja-kerja kotor dan rahsia sulit Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang dilakukanya pada sidang media di Petaling Jaya Industrial Park, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2017.

PETALING JAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad membuang nama ‘Iskandar Kutty’ ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut pegawai khas PMSP bahagian utara, Abdul Hameed B. Gula Maideen, nama Mahathir a/l Mohamad Iskandar Kutty didakwa masih digunakan semasa zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

“Setiap individu yang datang daripada luar negara sebagaimana bapa dan Datuk Dr. Mahathir, lahir di Malaysia akan dapat status Anak Lelaki (a/l), kalau nak tukar status kepada Melayu kena ada syarat iaitu sudah tujuh keturunan berada di negara ini.

“Bila pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, nama dia adalah Mahathir a/l Mohamad Iskandar Kutty, lepas pegang jawatan Perdana Menteri, terus hilang nama Iskandar,” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di ibu pejabat PMSP hari ini.

Mahathir memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1978 hingga 1981 dan kemudiannya dilantik Perdana Menteri pada 1981 sehingga 2003.

Dalam pada itu, pegawai khas PMSP, Shafik Abdullah turut mendakwa kakak kepada Mahathir, Habshah @ Bibi, 89 yang meninggal dunia pada Disember 2006 lalu mempunyai ‘binti’ Mohamad Iskandar pada sijil kematian arwah.

Pada 2009, Mahathir turut kehilangan kakak sulungnya Rafeah yang meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Kedah (KMC).

“Daripada hasil risikan yang saya lakukan, kakak dia yang meninggal dunia selepas 2006, dalam sijil kematian itu adalah binti Mohamad Iskandar. Jadi bila masa dia boleh jadi Mahathir bin Mohamad, mana pergi Iskandar?,” soal Shafik Abdullah.

Soal Iskandar Kutty mula diketahui umum sebaik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkit sejarah Mahathir.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, “Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam satu acara di Kelana Jaya sebelum ini. -MalaysiaGazette.

UMNO ibarat habis madu sepah dibuang bagi Tun M

Comments are closed.