Malik (dua dari kiri) dan Irwan (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus pada siri tayangan perdana filem VIP2 di TGV, KLCC malam tadi.

KUALA LUMPUR – Filem VIP2 versi Tamil yang baru masuk hari kelima tayangannya di pawagam seluruh negara telah berjaya mengutip sebanyak RM4 juta.

Filem yang dibintangi ratu Bollywood terkenal, Kajol Ajay Devgan dan heronya, Dhanush Kasthuri Raja itu ditayangkan dalam tiga versi iaitu dua daripadanya Telegu dan Hindi.

Versi Hindi tayangannya bermula malam tadi.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang mendapat hak mengedar filem itu di Malaysia menjangka VIP2 versi Hindi yang sudah mula ditayangkan akan mendapat sambutan hangat.

“Saya harap versi Hindi ini akan lebih ‘meletup’ sebab ramai yang meminati filem berbentuk Hindustan. Saya jangka ia akan berada di pawagam dalam tempoh tiga minggu dan harap kutipannya nanti akan melebihi RM7 juta pula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada siri tayangan perdana filem VIP2 di TGV KLCC di sini malam tadi.

Hadir sama pada tayangan itu Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menurut Malik, bagi penggemar filem Hindi wajar menonton VIP2 kerana ia ada kelainan berbanding versi Tamil iatu daripada segi persembahan lagu dan klimaks aksi yang ditonjolkan.

Beliau yakin penonton tidak akan kecewa menyaksikan filem tersebut kerana penceritaannya diolah mengikut kehendak yang diminati oleh peminat filem Hindi.

Terdahulu, filem berkenaan yang sepatutnya ditayangkan di pawangan pada 28 Julai iaitu mengikut tarikh kelahiran hero filem berkenaan Dhanush namun terpaksa ditangguh hingga Ogos ekoran sebab yang tidak dapat dielak.

Filem berdurasi dua jam 13 minit itu mempunyai jalan cerita dan dialog yang ditulis sendiri oleh Dhanush.

Lagu-lagu dalam filem berkenaan dikarang oleh Anirudh Ravichader dan disusun oleh Sean Roldan dengan memaparkan lima lagu iaitu Nada Raja, Iruvuram Kaadu, Pellanade, Dooram Nuvve Undaloi serta Vasundhara yang menjadi lagu tema filem VIP2 itu. – MalaysiaGazette