Exco Armada, Mohamad Taufik bercakap pada sidang media mengenai penipuan Syed Saddiq dalam Nothing To Hide 2.0 di Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Exco Armada, Mohamad Taufik Abas mengecam Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diumpamakan macam parti ‘mesin basuh’ kerana pemimpinnya dianggap suci dan bersih seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan.

Mohamad Taufik mendakwa, pemimpin dalam PPBM dilihat suci daripada kesalahan lampau seperti baju yang bersih selepas dibasuh.

“Ini (PPBM) parti mesin basuh, siapa-siapa yang ada kesalahan ada buat jenayah ke tapi bila masuk semua jadi suci dan bersih,” kata beliau semasa sidang media hari ini.

Mohamad Taufik memberikan contoh kes tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Zahid Mat Arip, salah seorang orang kuat PPBM yang dahulunya memegang jawatan Felda Investment Corporation (FIC) kerana terlibat dalam rasuah.

“Zahid Mat Arip ini merupakan dalang FIC, inikah yang PPBM kata nak bersihkan Felda?” katanya lagi.

Zahid sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Mohamad Taufik juga mendakwa PPBM sebenarnya parti yang lebih teruk daripada UMNO malah pimpinannya tidak boleh dikritik sama sekali.

“Niat saya nak betulkan, tapi malangnya ia lebih teruk daripada UMNO. Kebanyakan yang mengkritik dan menegur Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) mereka akan dicantas.

“Kita tidak ada suara, buatlah macam mana pun,” katanya lagi.

Dalam kes Mohamad Taufik, kerana kelantangan dan kritikannya beliau dipecat daripada jawatan Exco Armada dan lebih malang lagi ia dibuat menerusi kenyataan di Twitter tanpa sebarang surat rasmi.

“Saya sendiri sudah menjadi mangsa, saya dipecat dalam kenyataan di akaun Twitter. Armada dan PPBM langsung tidak profesional,” ujarnya.

Mengenai statusnya dalam PPBM, Mohamad Taufik akan kekal dalam parti tersebut walaupun hanya sebagai ahli biasa demi mempertahankan kebenaran.

“Saya masih ahli PPBM dan tidak akan keluar parti. Saya akan sedaya upaya cuba betulkan parti ini,” katanya. – MalaysiaGazette