Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata hanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang boleh memberikan maklumat mengenai dakwaan bekas pekerjanya yang mendakwa beliau mempunyai kekayaan luar biasa berjumlah RM83 bilion di luar negara.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkata, walau apapun tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu, beliau tidak terperanjat melihat kepada tempoh pemerintahan Mahathir selama 22 tahun.

“Kalau memang ada saya tidak terperanjat, sebab 22 tahun memerintah menjadi Perdana Menteri.

“Kalau ada tuduhan sebegini, ia perlu disiasat,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette dalam majlis Sambutan Kemerdekaan Felcra Berhad hari ini.

Bung Moktar mengiringi Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan majlis itu hari ini.

Justeru, beliau meminta agar pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah menyiasat dakwaan berkenaan sekiranya perlu.

“Kalau dilihat daripada cara pemerintahan yang lama, tuduhan itu ada asasnya tetapi kita tidak perlu menuduh secara rambang dan perlu ada penyiasatan yang lebih teliti.

“Saya cadangkan pihak yang membuat tuduhan itu perlu membuat laporan polis untuk membuktikan dakwaan yang dibuat mereka adalah benar,” jelas Bung Moktar.

Bekas pekerja yang menjalankan tugas-tugas khas Mahathir, Abdul Hameed B. Gula Maideen, 72, semalam mengadakan sidang media mendakwa Mahathir memiliki sejumlah wang bernilai RM83 bilion yang ditempatkan di Taiwan.

Wang kertas RM1,000 dan RM500 itu dibawa masuk ke negara tersebut oleh Mahathir daripada pusat percetakan di Eropah semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kewangan.

Sejumlah 35,980,800 keping wang kertas RM500 dan 65, 417,100 keping not RM1,000 berada dalam simpanan Mahathir dipegang oleh CKS Foundation secara berperingkat dari tahun 1982 hingga 1995, dakwanya. -MalaysiaGazette.

Bekas pegawai dakwa Tun M miliki RM83 bilion di luar negara