Home Nasional Lapor stesen minyak tutup operasi sebelum harga petrol naik

Lapor stesen minyak tutup operasi sebelum harga petrol naik

Hamzah Zainuddin.

SHAH ALAM – Orang ramai diminta segera melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) jika ada stesen-stesen minyak yang sengaja menutup operasi menjelang tengah malam ketika harga minyak petrol dan diesel diumum naik.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi jaminan akan bertindak tegas ke atas pengendali-pengendali stesen minyak berkenaan.

“Hubungi kami dengan segera, kita akan mengambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar Program Citarasa Malaysia@AEON di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya rungutan netizen di media-media sosial yang mendakwa ada stesen minyak tertentu menutup operasi lebih awal sementara menunggu 12 tengah malam ketika harga minyak dinaikkan pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, setakat ini KPDNKK tidak ada menerima laporan seumpama itu.

“Mereka cakap saja, tapi tak lapor,” tambahnya. – MalaysiaGazette