Home Dunia Lelaki guna pedang samurai curi masuki pejabat presiden Taiwan

Lelaki guna pedang samurai curi masuki pejabat presiden Taiwan

Lelaki yang menyerang pegawai polis di hadapan pintu pejabat presiden Taiwan ditahan. foto Agensi

TAIPEI – Seorang penyerang menggunakan pedang samurai melibas seorang pengawal polis tentera di luar pejabat presiden Taiwan, kata pihak berkuasa.

Lelaki Taiwan itu ditangkap di tempat kejadian memaklumkan dia bertindak demikian bagi melahirkan pendirian politiknya.

Suspek dipercayai telah mencuri pedang tersebut dari muzium berdekatan.

Pejabat presiden di pusat ibu kota Taipei itu adalah ibu pejabat Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen.

Hubungan Taipei dengan China merosot sejak Tsai mengambil jawatan tersebut tahun lalu selepas beliau enggan bersetuju bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada ‘satu China’.

Taiwan mengamalkan pentadbiran demokrasi tetapi Beijing masih melihat ia sebagai sebahagian wilayah yang bersatu.

Suspek dikatakan menggunakan tukul dan memecahkan cermin tempat pameran di muzium untuk mencuri pedang samurai itu.

Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Lu, menikam pegawai polis itu selepas dihalang memasuki kompleks dari pintu tepi kata jurucakap presiden, Alex Huang.

Lu kini disoal siasat oleh polis.

Pegawai polis itu dalam keadaan stabil selepas diberi rawatan.

Media tempatan berkata, pegawai itu dilibas di bahagian tengkuk.

Semasa kejadian pejabat presiden sedang menganjurkan majlis bagi kakitangannya. – MalaysiaGazette