Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Johor di kawasan tapak pembinaan Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Seramai 291 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen di kawasan tapak pembinaan Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang selama dua jam bermula pada 1 pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut, seramai 96 orang didapati tidak memiliki Enforcement Card (E-Kad) selain lain-lain kesalahan iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah atau dokumen perjalanan tamat tempoh.

Timbalan Penolong Penguat Kuasa Imigresen Johor, Muhammad Hafiz Khamis dalam kenyataan berkata, semua PATI ditahan itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Johor Bahru untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua PATI yang ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) dan Seksyen 15 (1) (2) Akta Imigresen 1963 pindaan 2002 di mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Operasi tersebut melibatkan seramai 190 pegawai dan anggota membabitkan Jabatan Imigresen Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Rela, Angakatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya. – MalaysiaGazette