PUTRAJAYA – Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) dilancarkan hari ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kerjaya berpendapatan melebihi RM20,000 sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan program berkenaan di sini hari ini berkata program SHIP akan memberi tumpuan kepada mereka yang berpendapatan pertengahan dengan pengalaman bekerja berkaitan.

Beliau berkata fokus kepada industri yang memerlukan tenaga mahir dan profesional seperti industri perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, kesihatan, maritim dan aero angkasa.

“Pendapatan tinggi sebegini dapat dicapai menerusi latihan dan persijilan khusus dalam bidang-bidang terpilih,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Beliau berkata kursus-kursus di bawah pembiayaan Bank Rakyat itu akan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.

Perdana menteri berkata permohonan penyertaan akan dibuka pada penghujung tahun ini dengan fasa pertama akan melibatkan 50 penerima faedah dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM10 juta dalam industri perkhidmatan kewangan, kesihatan dan teknologi.

“Fasa seterusnya akan bermula pada tahun 2018 dengan lebih banyak lagi bidang kepakaran dan industri akan diperkenalkan secara berperingkat melibatkan 250 orang penerima,” katanya.

Najib berkata insentif turut diberikan kepada peserta program tamat bidang pengkhususan yang akan dipertimbangkan untuk pengurangan pinjaman maksimum sebanyak 20 peratus.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program di laman web Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, katanya.

Najib dalam pada itu berkata Yayasan Peneraju berada pada landasan yang betul dalam usaha membangunkan bakat Bumiputera menerusi pembiayaan di bawah tiga program terasnya iaitu program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Beliau berkata Yayasan Peneraju berjaya mencapai sasaran membangunkan lebih 16,000 bakat Bumiputera melalui lebih 200 program dengan pembiayaan sebanyak RM435 juta.

“Ini bermakna 40 peratus daripada sasaran untuk membangunkan 40,000 bakat Bumiputera menjelang 2020 berjaya dicapai. Pada penghujung tahun ini, bilangan ini akan meningkat kepada 20,000 orang seperti disasarkan,” katanya.

Najib berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan Petunjuk Pretasi Utama (KPI) yang berjaya dicapai malah ada yang mencatatkan lonjakan berganda.

Sambil memberi contoh, beliau berkata kadar pengambilan bekerja para penerima faedah telah meningkat kepada 90 peratus berbanding 77 peratus yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Pada majlis tersebut, Najib turut melancarkan naskhah terbitan Yayasan Peneraju berjudul #iniceritasaya edisi kedua yang menampilkan koleksi kisah aspirasi dan kejayaan anak-anak muda.

Katanya edisi kedua #iniceritasaya membuktikan bahawa anak-anak muda mampu mencapai cita-cita mereka di samping memberi inspirasi kepada orang ramai dengan kisah kejayaan mereka.

Najib turut menggesa golongan belia untuk menyahut cabaran dalam meningkatkan pendapatan dan kerjaya masing-masing menerusi pelbagai program yang dikendalikan Yayasan Peneraju.

“Meskipun serba sederhana, penerima-penerima mampu mencapai impian kerana kerajaan yang ada hari ini amat prihatin dengan masa depan mereka. Program Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera ini bakal memberi harapan baharu kepada penerima-penerima,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Yayasan Peneraju Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin.- BERNAMA