Yasu Tanaka bercakap pada sidang media mengenai hak penerbitan semula filem Malaysia di 34 buah negara di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Syarikat produksi filem 42nd Pictures Sdn. Bhd. melakar sejarah industri tempatan apabila filem keluaran produksi itu, Terbalik, mendapat hak pembuatan semula di 34 buah negara.

Penerbit dan pengarah filem itu, Yasu Tanaka berkata, menerusi penerbitan semula filem itu di negara lain, 42nd Pictures akan mendapat royalti untuk penerbitan dan royalti kutipan.

42nd Pictures akan bekerjasama dengan entiti pembiayaan dengan produksi, Ivanhoe Pictures, yang berpangkalan di Amerika Syarikat menghasilkan semula filem tersebut dengan hak pembuatan di 34 buah negara termasuk  Perancis, United Kingdom, China, Korea Selatan India dan Sepanyol.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Mutalib mengucapkan tahniah kepada 42nd Pictures kerana berjaya membawa sejarah baru industri filem tempatan.

Terbalik yang akan menggunakan khidmat pelakon Bront Palare sedang dalam proses pra produksi dan dijangka memulakan pengambaran awal tahun hadapan.

Gandingan Yasu dan isterinya, Bea Tanaka melalui 42nd Pictures sebelum ini pernah menghasilkan filem Nota lakonan Hans Isaac dan Maya Karin. – MalaysiaGazette