Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA) tidak ditamatkan bahkan masih lagi berfungsi dengan beberapa mesyuarat akan diadakan akhir bulan ini di Australia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat di Australia itu akan melibatkan 11 negara dan keputusannya akan dikemukakan kepada Mesyuarat Menteri dan Ketua-ketua Negara (APEC) di Hanoi pada November ini.

Katanya, Malaysia mengambil pendirian terbuka iaitu bersedia meneruskannya jika mencapai persetujuan semua negara untuk dilaksanakan.

Ini kerana menurut beliau, kerajaan telah melaburkan banyak masa dan kewangan untuk menjayakan TPPA, tetapi jika tidak menjadi kenyataan, Malaysia perlu memikirkan cara lain untuk meningkatkan perdagangan.

“Setakat ini, TPPA belum lagi 100 peratus mati, masih lagi hidup dan masih lagi dalam perbincangan tanpa melibatkan Amerika Syarikat.

“Banyak penganalisis mengatakan apabila Donald Trump menjadi presiden, beliau mengambil sikap untuk memberikan perhatian lebih kepada negaranya ataupun dasar America First dan dasar bilateralism iaitu hubungan dua hala, bukan multilateralism.

“Saya anggap ini hanya sekadar analisis. Banyak analisis… ada mengatakan TPPA ini akan mendatangkan kebaikan kepada kita, ada yang kata ini mudarat,” katanya menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan yang bertanya status terkini serta hala tuju negara dalam sektor perdagangan antarabangsa selepas Amerika mengambil keputusan menarik diri dari TPPA.

Kata Mustapa, ada juga pandangan dengan penarikan diri Amerika akan memberi ruang kepada China untuk memainkan peranan lebih besar.

“Itu sebabnya kita ada One Belt One Road (OBOR) dan penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) berpejabat di Beijing. Ini akan menandingi Bank Dunia dan Bank Asia.

“Apa pun Malaysia menghargai hubungan dengan China. Negara China nombor satu dari segi perdagangan, hubungan Malaysia adalah baik dan kita memainkan peranan cukup konstruktif serta positif dalam memastikan hubungan antara China dan ASEAN sentiasa baik demi win-win supaya China mendapat manfaat, ASEAN pun boleh terus hidup dalam keadaan aman dan makmur,” jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia mengambil pendekatan terbuka termasuk dalam bidang ekonomi yang menyaksikan hubungan itu cukup besar kerana China adalah rakan dagang pertama.

Mengenai pelaburan pula, jelas Mustapa, Malaysia melihat berlaku peningkatan dalam pelaburan negara China ke negara ini.

Menjawab soalan tambahan, kenapa Amerika menarik diri dari TPPA, Mustapa memberitahu, Donald Trump berpendapat TPP merugikan negaranya yang menyebabkan peluang pekerjaan akan dieksport ke negara lain.

“Dia takut syarikat Amerika akan berpindah ke Vietnam dan Malaysia untuk mendapat peluang. Jadi Dia berpendapat itu merugikan Amerika.

“Kesan daripada penarikan Amerika Syarikat ini, kita rasa tidak banyak, bahkan tidak ada. Tambahan pula, kita sedang meningkatkan usaha menambah baik hubungan dengan negara ASEAN dan kawasan rantau itu termasuk China.

“Jadi kesannya minima dan kita yakin Malaysia akan terus mendapat faedah daripada hubungan yang lebih baik dengan Amerika Syarikat dan juga negara China dan negara-negara lain,” katanya. – MalaysiaGazette