Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

GUA MUSANG – Pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang berhubung pentadbiran negara pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak akan melemahkan Barisan Nasional (BN), kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ini kerana rakyat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu berkenaan yang disifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

“Saya rasa tidak ada suatu (isu) yang boleh menggugat sokongan rakyat terhadap BN…lagi pun rakyat bijak menilainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, Sabtu.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mengakui rakyat merasai kesan daripada kenaikan harga barang namun, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya BN mempunyai kekuatan tersendiri sejak dahulu lagi dan tidak pernah tergugat walaupun berdepan dengan pelbagai isu setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh mengingatkan jentera BN supaya terus bekerja keras dan mengatur strategi berkesan supaya rakyat memberikan sokongan penuh kepada gabungan parti itu.

“Kerajaan Persekutuan pimpinan BN sudah banyak membantu rakyat termasuk penduduk di luar bandar walaupun mereka berdepan dengan tekanan ekonomi. Kita yakin rakyat akan membalas jasa dengan terus memberikan sokongan kepada BN,” katanya.- BERNAMA