Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Rakyat Kedah diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan dengan memberi kepercayaan kepada pembangkang menerajui negeri ini, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata kesilapan itu boleh menyebabkan rakyat sengsara dengan janji kosong yang ditaburkan parti lawan.

“Lihat sahaja apa yang jadi di Parlimen Pokok Sena bila pihak pembangkang menang dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, semua yang dijanjikan tidak ke mana.

“Jadi jangan buat silap lagi. Kalau mereka (pembangkang) menang, kita takut nanti dalam tempoh lima tahun lagi masyarakat Pokok Sena akan terus sengsara,” katanya semasa berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di sini, Sabtu.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Pokok Sena dimenangi wakil PAS Datuk Mahfuz Omar manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dimenangi Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN) dan DUN Bukit Pinang dimenangi wakil PAS Romani Wan Salim.

Ahmad Bashah berkata kesilapan memberi pihak pembangkang memerintah juga boleh menyebabkan sesuatu bahagian itu kehilangan peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutuan untuk kerja-kerja pembangunan.

“Di Parlimen Pokok Sena sahaja kita hilang RM30 juta setahun dan ini menyebabkan kerja-kerja pembangunan dan perancangan yang ingin dilaksanakan tergendala,” katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO mampu memberikan yang terbaik buat masyarakat di sini sekiranya kawasan itu mampu dimenangi semula pada PRU akan datang.- BERNAMA