Ketua Wanita Parti AMANAH Negara (PAN), Dr Siti Mariah Mahmud berucap pada Konvensyen AWAN Nasional Kali Ke-2 di The Mines 2, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2017.

SERI KEMBANGAN – Pendidikan merupakan asas penting bagi mengelak golongan wanita berkahwin di usia muda atas alasan kemiskinan dan masalah sosial, kata Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurutnya, walaupun Islam tidak menetapkan umur minimum perkahwinan tetapi kerajaan boleh mengehadkannya demi menjaga kemaslahatan golongan wanita.

“Anak perempuan perlu diberikan kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Jangan terlalu cepat mendirikan rumah tangga sebelum ada persediaan.

“Kita tidak lagi berada di zaman yang mana kebanyakan lelaki bersifat bertanggungjawab dan amanah di dalam mengetuai keluarga,” katanya ketika berucap di Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional di The Mines 2, Seri Kembangan, pagi tadi.

Siti Mariah menegaskan, pihaknya bersetuju dengan umur minimum berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun tetapi dalam masa yang sama tidak menghalang mana-mana pihak untuk berkahwin dalam usia yang lebih muda.

Katanya, AWAN menegaskan mahkamah syariah perlu memainkan peranan yang besar supaya perkahwinan muda tidak digunakan sebagai sekadar alasan.

“Kepimpinan AWAN bersetuju had umur perkahwinan bagi wanita Islam dinaikkan ke 18 tahun dan bukannya 16 tahun iaitu had umur yang sama seperti wanita bangsa dan agama lain dalam negara ini. Ini tidak bererti pengharaman mutlak untuk berkahwin di bawah umur 18 tahun.

“Mahkamah syariah perlu memainkan peranan besar dan proaktif bukan sekadar meluluskan pernikahan tetapi juga membuat syarat yang berpatutan kepada ibu bapa atau bakal suami untuk memastikan kesejahteraan pengantin perempuan muda terpelihara sehingga beliau mencapai umur sekurang-kurangnya 18 tahun.

“Kita tidak mahu lagi perkahwinan umur muda atas sebab kemiskinan dan kejelekan moral semata-mata. Sekiranya ini berlaku maka lingkaran ganas akan berlaku dengan pembentukan satu keluarga yang sah perkahwinannya tetapi dihantui oleh masalah lain yang berurutan seperti tidak terdidiknya anak-anak dan masalah sosial dan pemangsaan berterusan yang menjadi beban kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada tahun lalu kerajaan meluluskan pindaan Akta Kanak-kanak 2001 yang menyatakan bahawa remaja bukan Islam di bawah umur 18 tahun yang mahu berkahwin perlu mendapat kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri masing-masing.

Manakala remaja Islam bawah 18 tahun yang mahu berkahwin perlu memohon di Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette.