Datuk Shafien Mamat

KUALA LUMPUR – Kejujuran seorang pemandu teksi memulangkan semula tripod kamera milik pegawai pengurus skuad futsal lelaki Thailand yang tertinggal di dalam kenderaannya semalam dipuji.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pukul 6.10 petang daripada lelaki berumur 55 tahun berkenaan menyatakan beliau tertinggal tripod kameranya di dalam sebuah teksi.

Beliau berkata, insiden berlaku ketika pegawai itu menaiki teksi berkenaan dari Kompleks Sukan Panasonic di sini untuk pulang ke lokasi penginapan atlet Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Hotel Concorde Shah Alam.

“Sejurus sampai di hotel, pegawai berkenaan terus keluar dan pemandu teksi, Cheong Theam Kwai, 53, tidak perasan yang lelaki berkenaan tertinggal tripod di tempat duduk belakang lalu meninggalkan tempat tersebut.

“Menyedari hal itu, pegawai terbabit memberitahu staf hotel dan rakaman kamera litar tertutup di lokasi menunjukkan teksi yang dinaikinya adalah jenis Proton Exora berwarna emas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shafien berkata, tidak sampai tiga jam daripada insiden ‘tertinggal’ tripod, pegawai sukan terbabit menarik nafas lega apabila Cheong sendiri yang menghantar kembali peralatan tersebut kepada rakan sepasukan lelaki itu di kompleks sukan berkenaan.

“Walaupun ada kes kecurian berlaku membabitkan pemandu bas kejohanan, namun sifat jujur Cheong dari Ampang itu harus dipuji,” katanya.

Kompleks sukan terbabit merupakan lokasi perlawanan futsal KL2017 yang bermula semalam hingga 27 Ogos ini. – MalaysiaGazette