Home Nasional BNM rugi RM31.516b pada tahun 1991-1994

BNM rugi RM31.516b pada tahun 1991-1994

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian urusniaga mata wang asing diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian berjumlah RM31.516 bilion dalam urus niaga mata wang asing bagi tempoh 1991 hingga 1994.

Bekas Pengurus Akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf berkata, angka kerugian itu dinyatakan dalam akaun penyata tahunan untung/rugi bank pusat berkenaan.

Abdul Aziz, 64, berkata maklumat itu diperoleh ketika beliau menyiapkan laporan mengenai kerugian BNM dalam urusniaga mata wang asing bermula dari 1989 hingga 1994 selepas diarahkan oleh bekas Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 2007.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan bagi tempoh 1988 hingga 1989 adalah sebanyak RM3.031 bilion,” katanya yang merupakan saksi pertama pada prosiding suruhanjaya siasatan diraja itu.

Abdul Aziz, yang membaca pernyataan saksi pada prosiding itu, berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada arahan untuk menyiapkan laporan terbabit diterima secara lisan atau melalui surat daripada Zeti Akhtar.

“Zeti Akhtar meminta saya mengumpulkan semua maklumat mengenai semua urusniaga mata wang asing BNM pada tempoh itu dan saya menyiapkan laporan itu pada 18 April 2017 dan kemudian menyerahkan kepada beliau,” katanya.

Abdul Aziz berkata selepas tugas itu diselesaikannya, beliau tidak mengetahui apakah tindakan susulan yang diambil oleh Zeti Akhtar berhubung laporan itu.

Katanya beliau tidak ingat kaedah atau dasar perakaunan yang diterima pakai oleh BNM berhubung urusniaga mata wang asing.

“Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dalam laporan ‘Accounting Treatment of Losses Arising From Active Reserve Management 1988-1994’ bertarikh 18 April 2007, saya tidak pasti sama ada berlaku penyediaan perakuan berhubung urusniaga mata wang asing di luar kebiasaan kerana saya tidak terlibat dalam penyediaan akaun tahunan BNM pada masa itu,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata, beliau tidak pasti sama ada terdapat polisi bertulis mengenai urusniaga mata wang asing di BNM ketika itu.

Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin, 54, pula memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa beliau menerima arahan daripada pihak atasan pada April 1993 untuk menyiapkan laporan bagi menyiasat punca kerugian yang dialami BNM.

Saksi kedua itu, yang ketika itu berkhidmat sebagai Auditor Dalaman BNM, berkata tujuan laporan itu disediakan bukan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sebaliknya mencari langkah seterusnya bagi mengatasi masalah terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan audit yang dijalankan, terdapat polisi bertulis mengenai urusniaga mata wang asing di BNM pada ketika itu tetapi beliau tidak mengingati butirannya secara terperinci.

“Sistem daripada aspek ‘check and balance’ yang ada di BNM berhubung pelaksanaan urusniaga wang asing oleh BNM wujud tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Ahmad Hizzad berkata pemerhatian audit terhadap ‘processing section’ di Jabatan Akaun BNM antaranya mendapati adanya fungsi pemprosesan yang tidak mencukupi, kemungkinan laporan tidak lengkap berhubung keuntungan dan kerugian daripada operasi pertukaran mata wang asing serta bank tidak menilai semula urus niaga pertukaran wang asing ke hadapan dari masa ke semasa.

Katanya beliau difahamkan terdapat ‘External Reserve Committee (ERC)’ ditubuhkan dalam BNM untuk mengawal selia dan memantau urusniaga mata wang asing yang dibuat oleh BNM.

Beliau berkata ‘dealers’ diberikan had tidak melebihi US$125 juta manakala tiada had ditetapkan untuk ‘adviser/pengurus’ dalam Jabatan Bank, BNM berhubung urusniaga mata wang asing yang dibuat oleh BNM.

Pada 21 Jun lepas, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian AS$10 bilion dalam tukaran mata wang asing BNM pada 1990-an.

Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja itu, yang diketuai Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bersambung Khamis ini. – MalaysiaGazette