Kapal pemusnah tentera laut Amerika Syarikat, USS John S. McCain.

SINGAPURA – Sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS John S. Mc Cain, mengalami kerosakan selepas berlanggar dengan sebuah kapal dagang ketika ia melakukan lawatan rutin ke Singapura, kata Tentera Laut AS.

“Laporan awal mendapati USS John S McCain mengalami kerosakan di bahagian belakang,” kata tentera laut AS sambil menambah kemalangan tersebut berlaku ketika ‘kapal itu melakukan lawatan rutin ke Singapura’.

Kapal perang AS itu dilaporkan melanggar kapal dagang, AN Alnic.

“Kerosakan dan kecederaan masih lagi disiasat,” kata satu kenyataan seperti dilaporkan RT.

Bagaimanapun, CNN melapor sepuloh krew kapal pemusnah itu hilang akibat kemalangan tersebut.

Tentera laut AS mengumumkan misi mencari dan menyelamat dengan pihak berkuasa tempatan sedang dilakukan.

Kapal tunda, pengawal pantai helikopter dan kapal tentera laut Singapura selain pesawat tentera Bell Boeing V-22 Osprey dan helikopter Sikorsky SH-60 Seahawk milik AS terlibat dalam usaha menyelamat itu.

Admiral John Michael Richardson yang berkhidmat dengan Ketua Operasi Tentera Laut ke-31 berkata, pihaknya yang memberi keutamaan ‘terhadap keselamatan kapal dan krew’ berjanji berkongsi lebih banyak maklumat insiden tersebut.

Kapal dagang, Alnic sepanjang 182 meter dengan berat 50,760 tan yang dibina pada 2007 itu membawa muatan minyak/bahan kimia seberat 30,000 tan. Alnic yang didaftar di Liberia dikendalikan oleh Stealth Maritime Corporation S.A.

Kapal pemusnah USS McCain, dalam kelas Arleigh Burke, sepanjang 154 meter berpengkalan di Yokosuka, Jepun dan beroperasi pada 1994. Pada awal bulan ini, kapal tersebut belayar di Terumbu Mischief di kepulauan Spratly.

Presiden Donald Trump merujuk kapal perang itu sebagai tanda kekuasaan semasa pertikaman lidah dengan Korea Utara sebelum ini.

Insiden tersebut merupakan kemalangan kedua membabitkan kapal perang AS dengan kapal dagang pada musim panas ini.

Pada 17 Jun lalu, tujuh kelasi AS terbunuh selepas kapal pemusnah, USS Fitzgerald berlanggar dengan kapal kontena yang didaftarkan di Filipina kira-kira 56 batu nautika barat daya Yokosuka, Jepun.

Pada Mei lalu, kapal tentera penjelajah yang dilengkapi dengan peluru berpandu, USS Lake Champlain berlanggar dengan kapal menangkap ikan Korea Selatan. Tiada kecederaan dilaporkan semasa insiden di laut terbuka itu.

Kira-kira setahun lalu, 19 Ogos 2016, kapal selam berkuasa nuklear yang dilengkapi peluru berpandu balistik, USS Louisiana berlanggar dengan kapal sokongan, USNS Eagleview di Wasington State dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan tersebut. – Agensi