Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

IPOH – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hanya memberi harapan palsu kepada penyokong parti pembangkang kerana beliau sendiri tidak yakin kemampuan Pakatan Harapan menawan Perak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohammad berkata ketidakyakinan Kit Siang dapat dilihat semasa berceramah di Parit Buntar minggu lalu apabila kerap mengulangi perkataan ?jika’ .

“Ini jelas dilihat apabila dalam kenyataannya berulang kali menggunakan istilah “jika”. Contohnya “jika PAS bertanding dan menjadi pengganggu undi”, “jika berlaku pertandingan tiga-penjuru” dan pelbagai keadaan yang menggunakan perkataan “jika”.

“Ia juga jelas menunjukkan beliau berada di awang-awangan dan tidak yakin dengan hipotesisnya sendiri. Dari segi psikologi, ia bermakna Kit Siang sendiri tidak yakin dengan ramalannya,” kata Saarani dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Saarani, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Kit Siang sengaja mengeluarkan kenyataan seperti itu bagi mengalih tumpuan masyarakat terhadap perbalahan yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang.

“Buktinya sehingga kini, mereka tidak dapat mencapai konsensus yang nyata dalam mengenal pasti siapakah sebenarnya yang menjadi pemimpin utama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata Barisan Nasional (BN) Perak yakin akan memenangi 39 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada PRU14 berdasarkan simulasi yang dibuat sebelum ini.

Katanya melalui simulasi itu menunjukkan sokongan undi Melayu meningkat 10 peratus serta lima peratus bagi undi bukan Melayu terhadap BN dan ia membuktikan gerak kerja yang dibuat sejak PRU13 mula menampakkan hasil positif.

“Kami telah mengatur serta melaksana strategi yang lebih mantap bagi mengatasi dakyah serta dasar politik kebencian yang ditanam oleh DAP serta sekutunya,” kata Saarani yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kota Taman.

Pada PRU13, BN Perak memenangi 31 kerusi DUN, DAP (18), manakala PKR dan PAS masing-masing lima kerusi.- BERNAMA