Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sempat meluangkan masa berswafoto dengan pelajar-pelajar cemerlang selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM ke27 2017 di Wisma PERWIRA ATM, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Penerima-penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan anugerah yang diterima mampu menyemarakkan semangat agar terus mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Malah, mereka beranggapan anugerah tersebut merupakan perangsang untuk sentiasa cemerlang dalam pelajaran demi mengejar cita-cita.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri Rawang, Elisye Dayana Muhamad, 16, terharu kerana terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

Katanya, dia sangat bersyukur kerana difikirannya tidak terlintas akan menerima penghargaan seperti itu.

Elisya Dayana Muhamad

“Alhamdulillah kerana saya dipilih untuk menerima anugerah ini dan keluarga saya juga merasa bangga.

“Saya harap inisiatif yang dilakukan oleh pihak ATM ini akan menggalakkan lagi lebih ramai rakan-rakan saya yang merupakan anak-anak anggota tentera untuk terus berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ke-27 di sini hari ini.

Sementara itu rakannya, Siti Nur Syafiqah Nordin, 16, berpandangan sama apabila menganggap anugerah oleh pihak ATM kepada anak warga tentera itu sebagai satu usaha memupuk mereka supaya menyintai pelajaran.

Katanya, hanya dengan pelajaran sahaja seseorang itu mampu mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang.

Siti Nur Syafiqah Nordin

“Kalau mereka tidak mahu belajar macam mana mereka boleh mengubah keluarga lebih-lebih lagi dalam kehidupan penuh pancaroba ketika ini.

“Anugerah ini merupakan pendorong kepada saya agar terus mencintai pelajaran,” kata palajar yang mendapat 9A pada penilaian PT3 dan bercita-cita menjadi seorang doktor itu.

Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM merupakan anugerah bagi memberi pengiktirafan kepada anak-anak angota ATM yang mencapai tahap kecemerlangan dalam akademik di peringkat PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam pada tahun 2016.

Ia diharap mampu menjadi galakan dan insentif kepada anak semua anggota ATM agar lebih berusaha untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

Seramai 607 anak anggota dan veteran ATM dari seluruh negara menerima anugerah berkenaan.

Penyampaian anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dalam satu majlis di Wisma Perwira di sini, hari ini. – MalaysiaGazette