Perkasa dengan NGO LMP, Indonesia mempunyai hubungan persahabatan yang baik. - Gambar kunjungan Ketua Umum LMP di Kuala Lumpur awal tahun 2015.

KUALA LUMPUR – Pimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memohon maaf kepada seluruh ahli Laskar Merah Putih (LMP) iaitu rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia di atas kesilapan cetakan bendera negara itu dalam buku cenderahati majlis perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkasa dan LMP yang mempunyai hubungan baik sebagai NGO membela bangsa negara masing-masing, memahami kemarahan rakan negara itu dengan kejadian berkenaan, walaupun kesilapan itu sukar dimaafkan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berharap, dengan permohonan maaf itu dapat meredakan kemarahan NGO LMP dan rakyat negara itu demi agenda masa depan kedua negara yang bersama dalam banyak perkara.

“Pimpinan Perkasa dengan rasa rendah diri secara rasmi memohon maaf kepada seluruh ahli LMP. Kami memahami betapa marahnya rakan kami itu dan rakyat Indonesia dalam isu tersebut.

“Kami juga mengerti kesilapan seperti itu amat sukar dimaafkan apatah lagi kami Perkasa amat memahami semangat patriotisma Sumpah Pemuda Indonesia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sirajuddin berkata, Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali sedang berusaha untuk menghubungi Ketua Umum LMP, Adek Erfil Manurung dan kemungkinan pimpinan pertubuhan itu akan mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan LMP sebaik dapat menghubunginya.

Sebelum ini, katanya, rombongan LMP diketuai Adek Erfil pernah menghadiri Persidangan Agung Perkasa pada 2014 dan Presiden Perkasa bersama pimpinan Tertinggi Perkasa pernah beberapa kali dijemput sebagai tetamu kehormat di majlis anjuran LMP di Jakarta.

“Penghormatan yang diberi pada Dr. Ibrahim selaku Presiden Perkasa amat luar biasa sambutannya. Pimpinan LMP pernah berikrar sanggup bertarung nyawa merintangi Selat Melaka jika Pribumi Malaysia diancam oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, Perkasa hendak menyatakan betapa pihaknya tidak boleh menerima kesilapan seperti itu berlaku.

“Ini bermakna pihak penganjuran tidak fokus berkaitan perkara yang amat sensitif. Ini bukan soal bas lewat, bukan soal pengadil berat sebelah, bukan soal jadual silap, tapi ini soal bendera sesebuah negara.

“Bendera kita jika terkena lantai pun kita sudah menjerit marah, apa lagi jika ianya dipasang di tiang atau dicetak berkeadaan terbalik,” ujar beliau.

Perkasa turut meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bertanggungjawab dengan kesilapan itu.

“Permohonan maaf tidak mencukupi untuk meredakan kemarahan dan kekecewaan jiran kita rakyat Indonesia kecuali Khairy sendiri umum peletakan jawatan dengan segera sebelum Sukan SEA selesai.

“Tindakan meletakkan jawatan itu bagi membuktikan dia benar-benar rasa bertanggungjawab atas kesilapan pihak penganjur Sukan SEA 2017.

“Dengan tindakan meletak jawatan juga akan menggambarkan sifat bertanggungjawab yang sebenar dan menjadi contoh kepada menteri lain jika melakukan sesilapan serius,” tegasnya.

Sirajuddin turut meminta kementerian berkenaan segera menyiasat bagaimana kesilapan itu boleh berlaku dan pegawai kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam urusan menyediakan buku cenderahati itu juga perlu meletak jawatan bersama Menterinya.

“Kesempatan ini juga Perkasa mengucapkan jutaan terima kasih dan menyanjung tinggi Presiden Indonesia, Jokowi kerana segera menerima permohonan maaf dari kerajaan Malaysia dan meminta rakyatnya bertenang serta tidak marah berpanjangan terhadap kesilapan yang sudah berlaku itu,” katanya. – MalaysiaGazette