Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang kemarahan Pas yang tidak berpuas hati dengan tuduhan itu.

Rahim dilaporkan menuduh tragedi berdarah pada 1981 berlaku kerana ahli PAS terpengaruh dengan ucapan Presiden PAS itu yang dikenali sebagai ‘Amanat Hadi’sehingga terjebak dalam kegiatan mengancam keselamatan negara.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad membidas Rahim kerana membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap Abdul Hadi.

“Siapa Rahim Noor hendak membuat tuduhan awal berlakunya tragedi Memali kerana amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

“Beliau mendakwa TG Haji Abdul Hadi terlibat kerana As-Syahid Ibrahim Libya terpengaruh dengan amanat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris juga mempertahankan Ibrahim, pemimpin Pas yang terkorban dalam insiden tersebut bukan seorang yang jahil agama, malah dihormati oleh masyarakat setempat.

“Saya hendak ingatkan Rahim Noor, Ustaz Ibrahim Libya bukan orang jahil dalam agama, beliau kelulusan tinggi. Pernah belajar di India dan Libya.

“Beliau pernah bertugas di Pusat Islam, kemudian letak jawatan untuk berkhidmat dengan orang kampung,” katanya lagi.

Idris berkata, akhlak Ibrahim amat berbeza dengan Rahim yang pernah terlibat dalam insiden mata lebam bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang pastinya Ustaz Ibrahim Libya orang yang berakhlak dan alim dalam agama.

“Dia tidak pernah bertindak pukul orang sehingga cedera parah seperti yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Rahim juga digesa daripada bercakap mengenai isu keamanan apabila beliau sendiri gagal menjalankan tanggungjawab sebagai polis, tegas Idris.

“Saya hendak tanya pula Rahim Noor yang pukul Datuk Seri Anwar pula terpengaruh dengan amanat siapa? Etika kepolisan tidak berkelakuan seperti ini.

“Sepatutnya beliau kena jaga keamanan dan keselamatan balai dan orang kena tuduh daripada perbuatan samseng daripada mana-mana pihak. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Lebih baik Rahim Noor diam daripada bercakap soal Memali dan membuat tuduhan yang melulu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi,” katanya.

Idris juga menyerang Rahim sebagai pemimpin yang jijik yang tidak akan diterima dalam masyarakat bertamadun.

“Rekod perkhidmatannya yang jijik tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

“Yang pastinya Rahim tidak layak kalau hendak dilantik salah seorang anggota RCI. Anggota RCI mestilah orang yang memiliki syakhsiah dan jati diri yang baik dan ada rekod yang baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette