Home Nasional PLUS tutup lorong tambah nilai 29 Ogos – 4 Sept.

PLUS tutup lorong tambah nilai 29 Ogos – 4 Sept.

Azman Ismail

KUALA LUMPUR – Kesemua 134 lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya PLUS akan ditutup kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September sempena dengan cuti perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataannya berkata, penutupan itu bagi membantu melancarkan lagi perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan yang dijangka berlaku sempena cuti tersebut.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, secara puratanya, satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan.

Oleh itu, penutupan lorong tambah nilai di plaza tol bertujuan mengelak kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad.

PLUS juga menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

Penutup lorong berkenaan telah diambil oleh PLUS pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan cuti Tahun Baru Cina yang lalu.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol. Justeru itu, kami akan menggunakan pendekatan yang sama pada musim perayaan ini dan perayaan yang akan datang,” jelas Azman. – MalaysiaGazette