Pereka Fesyen, Erma Fatima bercakap pada sidang media pada Majlis Pelancaran Malaysia Fashion and Business Mission New York di Sunway Pyramid, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 OGOS 2017

SUBANG JAYA Pengarah dan pelakon Erma Fatima menjelaskan dia dan bekas suaminya, Bade Azmi tidak bermusuh selepas sah bercerai pada 17 Ogos lalu.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, berkata hubungannya dan Bade kekal baik seperti biasa.

Jelasnya, dia ingin membuka lembaran baharu dan enggan mengenang kisah lampau.

“Saya sudah tutup buku lama pada 17 Ogos lalu dan selepas itu saya buka buku baru. Saya tidak mahu kenang lagi buku yang lepas.

“Saya tidak ada masalah dengan Bade dan kami tidak pernah bergaduh. Hubungan kami masih baik dan dia masih balik.

“Biarpun kami sudah berpisah, dia tetap menjadi lelaki terbaik dalam hidup saya. Cumanya, jodoh kami sampai di sini sahaja,” kata.

Erma ditemui ketika majlis pelancaran Malaysia Fashion & Business Mission To New York di Charms Cafe, Sunway Pyramid di sini hari ini.

Sesi fotografi bersama Erma Fatima pada Majlis Pelancaran Malaysia Fashion and Business Mission New York di Sunway Pyramid, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 OGOS 2017

Sementara itu itu, Erma mengakui anak-anaknya bertanya tentang perihal perceraiannya itu dan dia terbuka menjelaskan perkara yang sebenar.

“Sudah tentu mereka tahu isu cerai, itukan ayah mereka. Setiap anak akan bertanya. Mungkin mereka sudah memahami saya.

“Saya selalu pesan pada anak-anak, jika kita sayangkan seseorang, kita perlu melepaskannya,” ujarnya.

Selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya Bade telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya pada 17 Ogos lalu.

Mereka mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24, Ahmad Arir, 22, Ahmad Aifin, 20, Citra, 15, dan Nurain, 11.

Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang dan dikurniakan dua cahaya mata.

Pada tahun 2015, Erma pernah memfailkan perceraian namun menarik balik permohonan tersebut selepas kedua-duanya mengaku masih saling sayang menyayangi. – MalaysiaGazette