Khairul Hafiz Jantan

KUALA LUMPUR – Manusia terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan akan muncul lagi beraksi apabila turun pada separuh akhir 200 meter yang dijadual berlangsung petang ini dan berkemungkinan besar beraksi pada final sebelah malam.

The Speedy Jantan itu dijangka berdepan pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, Le Trong Hinh dari Vietnam dengan catatan masa 20.89 saat, perak dimenangi Jaran Sathoengram dari Thailand (21.05s) sementara gangsa milik Jirapong Meenapra (Thailand), 21.13s.

Khairul Hafiz pula adalah pemegang rekod kebangsaan acara 200m selepas mencatatkan kepantasan 20.90s pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan lalu.

Pelari berusia 19 tahun itu meleburkan rekod lama 20.92s berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan pada Sukan Olimpik Mexico 1968.

Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim berharap anak didiknya, Khairul Hafiz mampu meraih pingat emas berganda dengan mengungguli acara 200m hari ini.

Mohd Poad berkata, dia berharap kejayaan Khairul Hafiz memenangi acara 100m sekali gus dinobatkan sebagai manusia terpantas Asia Tenggara, malam tadi mampu merangsang anak didiknya itu untuk melakar lebih banyak kejayaan.

“Untuk acara 200m hari ini, saya harap Khairul Hafiz dapat mara ke final, tetapi saya lihat dia mempunyai peluang 50-50 untuk menjadi juara kerana memiliki dua pencabar iaitu dari Thailand dan Filipina.

“Apa pun kita harap dia dapat buat yang terbaik,” kata Mohd Poad yang mengesahkan Khairul Hafiz turut akan beraksi dalam acara berpasukan 4x100m.

Semalam, anak kelahiran Melaka itu menamatkan kemarau 14 tahun negara selepas kali terakhir acara riben biru dimenangi Nazmizan Muhammad di Sukan SEA Vietnam 2003. – MalaysiaGazette