KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini menerajui pengembangan perniagaan berteraskan teknologi di negara ini dengan memperuntukan dana sebanyak RM264 juta dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) kepada 80 syarikat tempatan.

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata MTDC menumpukan dua industri utama iaitu automasi dan robotik sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi seiring perkembangan pembangunan teknologi di Malaysia.

“Dalam konteks pembangunan teknologi, MTDC beri lebih daripada dana. Ia turut melibatkan teknologi yang dibangunkan oleh universiti dan institusi penyelidikan tempatan, melibatkan pembangunan usahawan.

“Malah, pihak kami sentiasa membantu usahawan muda membangunkan syarikat teknologi bagi berdiri teguh dan berjaya setanding syarikat-syarikat besar yang ada pada masa kini,” katanya pada temu bual eksklusif bersama Bernama.

Norhalim berkata MTDC memperuntukan RM170 juta tahun ini untuk enam dana iaitu Dana Perolehan Teknologi, Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Dana Pembangunan Teknologi Halal, Dana Permulaan Perniagaan, Dana Perkembangan Perniagaan dan Dana Pengembangan Perniagaan.

“Enam dana itu bertujuan meningkatkan kandungan teknologi, keupayaan, kemampuan dan daya saing sesebuah syarikat yang menerima dana tersebut,” kata Norhalim.

Sebagai usaha berterusan, beliau berkata, sebuah Akademi Latihan Teknopreneur (TENTRA) ditubuhkan tahun ini bagi pengkomersialan teknologi.

Norhalim berkata akademi latihan itu bertujuan mengurangkan kadar kegagalan perniagaan di kalangan usahawan, terutaman usahawan tekno.

“Di bawah TENTRA, kami akan mempertingkatkan lagi penawaran melalui perkhidmatan berpadanan teknologi, termasuk skim penempatan untuk pensyarah dan penyelidik yang ingin mendapatkan pandangan industri mengenai pemindahan pengetahuan dan pengkomersialan,” katanya.

Sementara itu, MTDC menyasarkan lima syarikat teknologi disenaraikan dalam Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) pada hujung 2017, seiring kemajuan pembangunan teknologi negara.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dan memastikan syarikat teknologi berkembang ke tahap yang lebih baik dengan menerima kehadiran pelabur di dalam syarikat tersebut.

MTDC yang ditubuhkan pada 1992 merupakan syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, terlibat dalam pengurusan dana, perkhidmatan inkubasi, penasihat, dan memupuk penggunaan teknologi oleh syarikat tempatan melalui aktiviti pengkomersialan ciptaan tempatan atau teknologi asing.- BERNAMA