Setiasausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng bercakap pada sidang media program ' Biomass Roadsho

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat, Datuk Liang Teck Meng hari ini mengutuk keras ancaman gengster yang diterima wakil rakyat  sejak kebelakangan ini.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, DAP secara tersirat menggalakkan tingkah laku gengster kerana enggan mengutuk ancaman kepada wakil rakyat.

“Saya kecewa dengan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Penanti, Dr. Norlela Ariffin bahawa terdapat sesetengah penyokong Pakatan Harapan yang membuat panggilan dan memarahi beliau atas isu kilang haram Sungai Lembu.

“Saya terkejut dan berasa marah apabila beliau (Norlela) telah mendedahkan bahawa sesetengah individu tersebut telah pun mengancam dirinya sehingga mendorong beliau membuat laporan polis segera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Teck Meng, hal berkenaan mengingatkan beliau tentang wang kertas sembahyang dan surat-surat mengancam yang diterima oleh diri sendiri dan rakan seperjuangan dalam Gerakan.

Jelas beliau, ia berlaku ketika beliau meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk membuat penjelasan ke atas skandal rumah banglo yang dimilikinya.

“Nampaknya setiap kali DAP didapati telah melakukan kesalahan atau apabila seseorang mengkritik DAP, ancaman-ancaman tersebut akan muncul dan tidak dapat dielakkan. Ini tidak lebih daripada gengsterisme politik,” bidasnya.

Malah beliau memberitahu, sehingga kini tiada seorang pun daripada DAP tampil untuk mengecam atau mengambil serius tentang ancaman yang dibuat terhadap Norlela atau diri beliau sendiri.

“Selain daripada serangan perseorangan dan bahasa penghinaan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi DAP yang menggalakkan penyokong-penyokong mereka untuk melakukan perkara yang sama sikap berdiam diri terhadap sebarang ancaman daripada DAP secara tersiratnya menggalakkan tingkah laku gengster tersebut.

“Saya mengecam ugutan politik dan perilaku samseng. ugutan dan samseng politik tidak harus dibiarkan dalam politik tempatan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette