Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Hukuman penjara terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kekal selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya hari ini.

Rafizi yang disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berdepan hukuman penjara 18 bulan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakiman lisan yang turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada November lalu, yang mensabitkan Rafizi atas kesalahan membocor dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada sebuah sidang akhbar di bangunan Parlimen tahun lalu.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 18 bulan.

Rafizi bagaimanapun dibenarkan membuat rayuan terhadap sabitan memiliki halaman 98 laporan audit 1MDB, dan membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan di peringkat tertinggi.

Rafizi dalam komen Twitternya berkata, beliau akan membuat rayuan sehingga peringkat tertinggi dan jika gagal juga beliau akan bercuti daripada politik dan tidak boleh bertanding.

“Akn rayu di Mahkamah Rayuan penjara setahun setengah. Saya tetap tidak boleh bertanding dalam PRU14,” katanya.

Mahkamah Sesyen pada November tahun lepas menjatuhkan Rafizi hukuman penjara 18 bulan terhadap setiap pertuduhan memiliki dan mendedahkan kandungan laporan audit 1MDB yang diklasifikasikan rahsia rasmi di bawah OSA.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua hukuman itu dijalankan serentak.

Sekiranya Rafizi gagal dalam rayuannya, beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Pandan, di samping diharamkan daripada bertanding pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette