Muhammad Hakimi Ismail

KUALA LUMPUR – Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail mengekalkan pingat emas dengan memecah rekod sendiri pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini di sini, Muhammad Hakimi, 26, mencatat lompatan 16.77 meter berbanding 16.76 meter di Singapura, dua tahun lalu.

Atlet kelahiran Perak itu tidak berdepan masalah untuk meninggalkan pencabar terdekat Mark Harry Diones dari Filipina dengan lompatan 16.63 meter sementara ketiga ialah Pratchaya Tepparak dari Thailand dengan catatan 16.37 meter.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai pembakar semangat buat Muhammad Hakimi yang baru menimang cahaya sulung baru-baru ini.

Sementara itu seorang lagi wakil negara, Nik Fariezal Erman Nik Ab Hadi menamatkan saingan di tangga keenam.

Hakimi melengkapkan kejayaan skuad olahraga negara selepas Elena Goh (jalan kaki) dan Jackie Wong (tukul besi) menghadiahkan emas di sebelah petang. – MalaysiaGazette