Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat logo 1Malaysia Negaraku pada Majlis Pelancaran Logo 1Malaysia Negaraku di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Ikon 1Malaysia bukan sahaja satu konsep dan satu wahana, tetapi ianya juga diasaskan kepada nilai agama serta nilai sampingan yang boleh dijadikan asas dalam proses membina sebuah negara bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan asas itu juga kerajaan dan rakyat Malaysia akan sentiasa merasakan perjalanan yang dihasratkan iaitu pencapaian dalam bentuk peraduan akan menjadi jitu dan kukuh.

“Pencapaian ini adalah satu perjalanan yang lama, yang memerlukan kita merentasi pelbagai cabaran dan rintangan.

“Tetapi, berbekalkan dengan konsep, semangat dan prinsip serta nilai asas yang ada kaitan dengan nilai 1Malaysia, maka kita boleh melihat negara kita mampu bergerak setapak demi setapak ke arah matlamat yang diidamkan oleh kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Logo 1Malaysia Negaraku di Dewan Taklimat, Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri.

Menurut Najib, apa telah dilakukan kerajaan hari ini yang berlainan dengan masa dahulu ialah konsep 1Malaysia dikaitkan dengan produk serta programnya seperti Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Skim Latihan 1Malaysia, Projek Perumahan Awam 1Malaysia dan banyak lagi.

Ujar beliau, dari segi kaca mata kerajaan, melihat konsep 1Malaysia itu sebagai sudah begitu popular sehingga menjadi satu simbol yang sebati dengan rakyat dan negara.

“Baru-baru ini, kita juga telah melancarkan inisiatif Negaraku… Negaraku Malaysia. Bila kita sebut Negaraku, kita dapat sambutan yang amat baik. Sebab ia sudah menjadi spontan, sebut “Negaraku”, rakyat akan sambut “Malaysia”,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, kerajaan bersetuju untuk menggabungkan ikon 1Malaysia Negaraku dalam satu simbol dan satu ikon negara supaya rakyat tidak ketepikan 1Malaysia yang kita jadikan konsep sebelum ini.

Jelas Najib, bagi simbol Negaraku Malaysia akan terus diperjuangkan kerana ia adalah gambaran ikon baru untuk negara. – MalaysiaGazette