Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff bersembang dengan penerima tajaan kewangan pendidikan di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Bagi pelajar SK Taman Muda, Ampang, Nurul Intan Atiqah Zulaznan, 10, hanya bahasa isyarat sahaja yang membolehkannya berkomunikasi dengan ibubapanya.

Nurul Intan yang merupakan anak ketiga dari enam beradik terpaksa melupakan keinginan disebabkan keadaan keluarganya dan bersekolah dalam keadaan serba kekurangan.

Pendapatan yang diperoleh bapanya menerusi pekerjaan di restoran makanan segera di ibu negara manakala ibunya seorang suri rumah menyebabkan keluarga itu bergelut dengan masalah untuk menguruskan pendidikan anak-anak.

Pun begitu, Nurul Intan teruja apabila muncul antara 20 penerima tajaan bantuan pendidikan B40 berjumlah RM1,500 untuk tempoh setahun.

“Ikutkan keadaan semasa ibu bapa yang OKU (orang kelainan upaya) hilang pendengaran, hanya bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membantu kami mengisi perut walaupun tidak seberapa untuk jaga kami enam beradik.

Nurul Intan Atiqah Zulaznan, 10, dari SK Taman Muda Ampang.

“Namun saya gembira apabila dipilih menerima bantuan kewangan sekolah dari Program Amal B40 dibawah Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) dari Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

“Emak dan ayah pasti akan gembira saya mendapat pembelaan untuk belajar tanpa masalah wang nanti,” katanya sambil menambah bantuan yang diterima itu memberinya semangat untuk meningkatkan usaha untuk menimba ilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff menyampaikan tajaan bantuan kewangan sekolah kepada 20 pelajar dari tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Muda Ampang, SK Sri Petaling dan SMK Bandar Baru Ampang di kampus Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur di sini.

Ia merupakan tajaan pendidikan untuk pelajar keluarga miskin di bawah Program B40 yang dimulakan yayasan itu pada Mac lalu.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Muda Ampang, Muhayon Mashod berkata, beliau gembira pelajar sekolah itu turut dipilih untuk menerima bantuan yayasan tersebut.

“Kami bersyukur kepada Allah kerana Nurul Intan menerima bantuan kewangan untuk meneruskan persekolahan ke darjah lima tahun depan.

“Kita ada seorang guru yang akan menjaga segala perbelanjaan dan keperluan persekolahan Nurul Intan dan tajaan kewangan yang diterima itu akan diuruskan sebaik-baiknya demi pendidikan Nurul Intan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette