Petroliam menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. berjaya menghantar gas asli cecair (LNG) ke South Korean Oil Refining Company (S-Oil Corporation).

KUALA LUMPUR – Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), sedang menimbang opsyen untuk membangunkan dan menjana keuntungan sumber gasnya di Kanada selepas menangguhkan pelan pembangunan projek gas asli cecair bernilai berilion dolar di British Columbia.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Huluan Petronas Datuk Mohd Anuar Taib berkata antara kemungkinan yang dipertimbangkan ialah melabur dalam projek saluran paip bagi menghubungkan dan memasarkan sumber gas dari kawasan yang terbukti mempunyai 22.3 trilion kaki persegi (TCF) gas tidak konvensional ke seluruh Kanada dan Amerika Utara.

Sumber gas Petronas terletak di kawasan North Montney, dan dikendalikan oleh Progress Energy Canada Ltd.

Kawasan ini menghasilkan gas sejak 2012, membekalkan pasaran Kanada yang mempunyai permintaan sebanyak 14 bilion kaki padu standard (BCF) sehari, kira-kira tujuh kali Semenanjung Malaysia.

“Kami kini mengenal pasti kemungkinan bekerjasama dengan rakan kongsi atau pihak lain untuk mengkaji saluran paip yang boleh dibina bagi menyambungkan kawasan itu ke seluruh pasaran Kanada,” katanya kepada Bernama.

Projek itu jika menjadi kenyataan, akan memberikan Petronas akses ke seluruh pasaran Amerika Utara yang mempunyai saiz kira-kira 84 BCF sehari, atau kira-kira 40 hingga 41 kali, daripada Semenanjung Malaysia.- BERNAMA