Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghasilkan pementasan teater sulung mereka dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah yang mampu meruntuhkan sesebuah negara.

Teater Bahara Emas yang akan dipentaskan pada Oktober depan merupakan satu lagi langkah diambil agensi tersebut dalam memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi pentas arena budaya dan pementasan seni, di samping mendekatkan rakyat dengan SPRM dalam membantu menangani jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya bagi pihak SPRM ingin mengumumkan dan berkongsi dengan masyarakat di luar mengenai satu lagi inisiatif terkini kami di dalam usaha berterusan kami untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Melalui inisiatif terbaharu ini, SPRM bakal menyerbu perhatian dan hati masyarakat dengan tangkapan terkini kami di dalam arena budaya dan pementasan seni,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam sidang pelancaran teater di Istana Budaya hari ini.

Dzulkifli berkata, karya tersebut yng diadaptasi daripada kisah sejarah Melayu hasil tulisan Tun Sri Lanang itu akan menceritakan mengenai kegemilangan dan kejatuhan sebuah kerajaan dan bangsa di mana ia sarat dengan mesej bahaya serta kesan rasuah yang kritikal.

“Saya yakin masyarakat perlu belajar daripada sejarah. Kita perlu mengambil iktibar sejarah jika kita ingin membina peradaban bangsa yang membangun tanpa hilang nilai-nilai murninya.

“Kita harus merenung pengajaran sejarah agar kita dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bersih dan bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salah guna kuasa.

“Ini adalah matlamat dan prinsip dalam pementasan teater ini,” ujarnya lagi.

Jelas Dzulkifli lagi, langkah menghasilkan teater tersebut tidak bermakna SPRM akan berhenti daripada terus menjalankan tanggunjawabnya dalam membawa penjenayah rasuah ke muka pengadilan.

“Sebenarnya banyak lagi tangkapan yang nak dibuat, malah sehingga ke penghujung tahun ini akan ada lagi tangkapan dan pertuduhan yang akan dibuat terhadap mereka yang masih buta dengan harta dan wang ringgit,” katanya lagi.

Pementasan teater Bahara Emas ini diilhamkan oleh SPRM dan dianjurkan dengan kerjasama CTRA Production, Dewan Bahasa dan Pustaka, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Istana Budaya.

Teater ini akan dipentaskan selamat empat hari bermula 19 hingga 22 Oktober di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.

Teater ini akan diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir, pengarah teater ASWARA terkenal dan juga akan menampilkan komposer muzik tersohor, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau dikenali sebagai Pak Ngah sebagai pengarah muzik teater. – MalaysiaGazette