Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq beramah mesra dengan penerima tangan Prostetik, Muhammad Fathul Naqib Fakrul Iskar (hadapan, empat kiri) dan peserta MyVista selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Bil 2/2017 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Tangan prostetik cetakan 3D seorang kanak-kanak kurang upaya menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis memperkenalkan inisiatif inovasi sosial Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di Perdana Putra, hari ini.

Tangan prostetik dengan reka bentuk tangan adiwira terkenal Ironman yang dipakai adik Muhammad Fathul Naqib Fakrul Iskar itu dihasilkan oleh syarikat MyVista yang merupakan satu daripada projek di bawah inisiatif inovasi sosial NCIA.

Muhammad Fathul Naqib, 8, yang belajar di Sekolah Kampung Tengah, Kemaman, Terengganu, dilahirkan tanpa sebahagian daripada tangan kirinya, menyebabkan dia sering berasa rendah diri dengan rakan-rakannya.

“Saya minta tangan (prostetik) dengan reka bentuk (adiwira) Ironman sebab saya mahu kuat sepertinya,” katanya yang mencuit hati hadirin.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat Majlis NCIA ke-18 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Ketua Pegawai Eksekutif MyVista, Sujana Mohd Rejab berkata beliau memulakan projek mencetak tangan prostetik 3D sejak hujung 2013 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan terutamanya kanak-kanak untuk mendapatkan tangan prostetik.

Dengan memberikan perkhidmatan secara percuma, beliau berkata bahan-bahan bagi mencetak tangan prostetik itu diperoleh hasil sumbangan orang ramai, manakala mesin pencetak diperoleh hasil daripada geran Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera (MCash) NCIA.

“Walaupun tangan prostetik ini tidak secanggih tangan robotik, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat membantu mereka dari segi meningkatkan keyakinan diri terutamanya untuk bergaul dalam masyarakat.

“Contohnya adik Naqib sering diejek oleh rakan di sekolah tetapi apabila dia memakai tangan prostetik bentuk Ironman, dia mula mendapat ramai kawan,” katanya kepada pemberita.

Sujana yang juga lebih dikenali sebagai Paksu, berkata mereka yang ingin mendapatkan tangan prostetik sering menghubunginya melalui laman Facebooknya “Sujana Rejab” dan telah mengeluarkan lebih 50 produk setakat ini.

Sujana yang juga merupakan antara ikon Negaraku 2017 berkata beliau menjalankan percetakan 3D di Taiping, Perak dan turut menerima tempahan dari luar negara termasuk Afrika Selatan, Nepal, Syria, Singapura dan Thailand.

Dalam pada itu, satu lagi projek di bawah inisiatif inovasi sosial NCIA turut diperkenalkan kepada Perdana Menteri adalah Projek Penternakan Lebah Kelulut Lestari dan Hygienic Berasaskan Inovasi Mustafa Hive yang dilaksanakan di Kubu Gajah, Perak.

Pencipta projek itu yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Mohd Zulkifli Mustafa berkata projek itu memfokuskan kepada kaedah penternakan yang menepati amalan pertanian baik dan memberi penekanan kepada kawalan kualiti penghasilan madu.

“Dengan peningkatan kualiti madu yang dihasilkan, harga kelulut telah meningkat daripada RM150 sekilogram kepada RM520 sekilogram sejak program ini dilaksanakan,” katanya.

Dr Zulkifli berkata industri itu menghasilkan bahan mentah utama iaitu madu, roti lebah dan propolis yang berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu penduduk luar bandar.- BERNAMA