Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas
CAMERON HIGHLANDS – Pertemuan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), sama sekali tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi MyPPP Tan Sri M. Kayveas.

Beliau berkata ini kerana tindakan Dr Mahathir yang mahu menarik kumpulan itu menyertai pakatan pembangkang hanyalah demi kepentingan peribadi semata-mata dan bukannya untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Hindraf tidak mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan sebenar kerana pemimpin pergerakan itu sering menyertai pelbagai parti politik termasuk BN dan akhirnya menentang kerajaan disebabkan kononnya tidak memenuhi kehendak mereka, katanya.

“Rakyat sebenarnya keliru apa perjuangan sebenar Hindraf kerana jika hendak menjatuhkan pemimpin atau kerajaan, itu bukan perjuangan, itu berniat jahat dan tiada kena mengena dengan perjuangan untuk rakyat.

“Hindraf sudah berpecah-belah, ada yang menyertai Makkal Sakti, PKR sebelum ini ada yang pernah menjadi timbalan menteri dan kemudian bertindak menentang kerajaan BN,” tegas beliau.

Kayveas yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan bercakap mengenai pertemuan itu kepada Bernama selepas merasmikan Bengkel Kecemerlangan Minda dan Sahsiah untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang disertai lebih 50 murid Tahun Enam dari lapan buah sekolah Cameron Highlands di sini hari ini.

Kayveas diminta mengulas tindakan Dr Mahathir menemui pengerusi Hindraf di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Jumaat lalu, untuk mengajak pergerakan itu menyertai gabungan parti pembangkang.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa tindakan Dr Mahathir mengajak Hindraf menyertai pembangkang tidak pernah dibincangkan sebelum ini oleh pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Menurut Kayveas, hanya kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melakukan pebagai usaha untuk menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat termasuk masyarakat India di negara ini.

“Pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan BN sentiasa menjadi perhatian utama seperti pembinaan sekolah dan pelbagai usaha juga dijalankan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat India.”- BERNAMA

Comments are closed.