Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengukiti prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila hadir hari ini ke prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Bekas Perdana Menteri itu tiba jam 9 pagi dan dilihat duduk di dalam ruang tempat awam.

Prosiding hari ini adalah sambungan sejak ia bermula 21 Ogos dan akan berakhir pada 21 September depan.

Suruhanjaya yang dipengerusikan, Tan Sri Sidek Hassan ditubuhkan pada 15 Julai lalu dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Antara individu yang menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berhad, Datuk Tajuddin Atan; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, S.A.K Pushpanathan.

Peguam R Sivarasah mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (menteri kewangan ketika itu), sementara Mohamed Haniff Khatri bertindak sebagai peguam pemerhati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Manakala, Tan Hock Chuan pula bertindak sebagai pemerhati untuk BNM.

RCI dijangka dapat merungkai isu-isu yang membelengu negara sejak 23 tahun lalu di mana ketika itu, negara mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion dalam skandal forex dan kesannya masih dialami sehingga kini.

Bidang kuasa suruhanjaya siasatan itu adalah bagi menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami BNM sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

Selain itu ia juga bagi menentukan penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan. – MalaysiaGazette