Home Nasional Dua wanita pengsan terperangkap dalam lif

Dua wanita pengsan terperangkap dalam lif

SHAH ALAM – Dua wanita pengsan selepas terperangkap di dalam lif hampir setengah jam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Muhibbah, Klang dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Selangor Alumaddia Bukri dalam satu kenyataan berkata, kejadian kira-kira pukul 6.32 pagi itu turut membabitkan 10 lagi penduduk.

“Kejadian berlaku di tingkat empat pangsapuri itu apabila lif yang dinaiki 12 penduduk pangsapuri tersangkut dan menyebabkan mereka terperangkap hampir setengah jam.

“Susulan itu juga menyebabkan dua daripada mereka pengsan akibat sesak nafas…namun ketika operasi menyelamat selesai seorang daripada mangsa telah pun sedarkan diri,” katanya hari ini.

Alumaddia berkata ketika kejadian, difahamkan kesemua mangsa keluar dari kediaman masing-masing untuk ke tempat kerja.

Tambahnya, kesemua mangsa kemungkinan terperangkap disebabkan melebihi had muatan bagi penggunaan lif tersebut.

“Kita mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas Crowbar yang digunakan untuk mengumpil pintu lif itu…seorang mangsa wanita yang masih pengsan kita telah hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette