Khairul Hafiz Jantan

KUALA LUMPUR – Kegagalan Khairul Hafiz Jantan memenangi pingat emas acara 200 meter pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) disebabkan kecederaan pada bahagian kaki kanan.

Khairul Hafiz yang memenangi acara 100 meter yang menobatkan dirinya manusia terpantas di Asia Tenggara sekadar menamatkan larian tempat keempat.

Pingat emas 200m menjadi milik wakil dari Filipina, T. Anthony Beram yang mencatat masa 20.84s menewaskan pemenang pingat perak, Jirapong Meenapra dari Thailand (21.22s) manakala seorang lagi atlet negara G. Arravin Thevar menghadiahkan pingat gangsa (21.26s).

Khairul Hafiz yang mencataktan masa 21.28s itu berkata, akan berusaha dalam acara itu aksi temasya akan datang.

“Maafkan saya, rezeki saya hari ini hanya meraih tempat keempat namun tidak akan melemahkan semangat saya.

“Kecederaan dalam sukan adalah perkara biasa yang tidak dapat dielakkan namun tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan,” katanya.

Malam Selasa lalu, sebaik Khairul Hafiz yang diberi gelaran The Speedy Jantan menamatkan larian 100 meter, dia jatuh tersungkur di atas trek sebelum bingkas bangun meraikan kemenangannya. – MalaysiaGazette