Home Nasional Nilai bidaan siri AKU 1 RM207,898

Nilai bidaan siri AKU 1 RM207,898

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mendapat bidaan tertinggi bagi nombor pendaftaran AKU 1 pada harga RM207,898.90 berbanding nombor AKU 8055 sebanyak RM74,000.

Sebelum ini, AKU 8055 (AKU BOSS) dijangka menerima sambutan tertinggi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, jabatan itu menerima 3,315 permohonan bidaan tetapi 239 ditolak kerana tidak cukup syarat dan permohonan tidak mempunyai dokumen yang diperlukan.

Menurut beliau, siri pendaftaran AKU menerima permohonan yang tinggi hingga enam kali ganda berbanding 500 hingga 600 penyertaan pada siri sebelum ini.

Nombor pendaftaran siri AKU1305 dengan 49 bidaan, diikuti pembida AKU 8055 sebanyak 27 dan AKU 805 dengan 18 pembida.

Zawawi berkata, siri AKU merekodkan nilai kutipan sebanyak RM3.5 juta. – MalaysiaGazette