Sallehin Mukhyi

KUALA LUMPUR – Langkah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berunding dengan Pas nampaknya tidak membuahkan hasil, malah Pas Selangor mengumumkan akan melawan semua kerusi yang disandang oleh PKR pada pilihan raya umum depan nanti.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi bertegas parti itu sedia bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sanggup berdepan saingan tiga penjuru sama ada daripada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

“Pas Selangor bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru atau lebih pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang dan bersedia meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi oleh BN atau Pakatan Harapan.

“Justeru Pas Selangor setelah meneliti data dan fakta serta kesediaan jentera, ingin menegaskan bahawa kami bersedia untuk meletakkan calon sekurang-kurangnya di 42 kerusi DUN Selangor pada PRU-14 nanti,” katanya semasa sidang media hari ini.

Malah, Sallehen juga berkata, kerusi DUN yang akan ditandingi itu termasuk milik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Azmin sendiri.

“Kita juga bersedia bertanding kerusi PKR di Kajang dan Gombak (DUN Bukit Antarabangsa),” katanya.

Azmin baru-baru ini mengakui mereka mengadakan perbincangan dengan Pas tanpa melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain dan menyifatkan ia tidak ada kena mengena dengan blok pembangkang.

Mohamed Azmin berkata, beliau bukan menjadi wakil PH dalam rundingan itu tetapi ia merupakan langkah untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas.

April lalu, Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Perkembangan terbaharu ini dilihat menjadi tamparan kepada Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette