Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang bersama Inspektor Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam menunjukkan hasil barangan rampasan yang dipercayai dadah pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Tiga pelajar warga Nigeria antara sembilan anggota sindiket penyeludupan dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang ditahan Isnin lalu menerusi serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Risikan Narkotik (STING).

Salah seorang daripada mereka adalah pelajar yang berusia 36 tahun itu adalah perancang utama aktiviti sindiket itu yang aktif sejak lima bulan lalu.

Dalam satu serbuan sekitar pukul 7 malam di tiga lokasi berlainan iaitu Sungai Besi, Petaling Jaya dan Seri Kembangan polis menangkap sembilan anggota sindiket ganja yang berusia antara 25 hingga 42 tahun, termasuk seorang wanita warga Uganda.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Kang Chez Chiang berkata, hasil serbuan di sebuah apartmen di Seri Kembangan polis menahan seorang suspek lelaki warga Nigeria yang merupakan perancang utama sindiket tersebut.

Katanya, polis bertindak dalam serbuan itu berdasarkan maklumat risikan dengan Pengurusan Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat yang terjalin lebih 47 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui dua beg berisi dadah jenis ganja mampat seberat 24.5 kilogram dibalut dengan kertas lutsinar dianggarkan bernilai RM100,000.

“Susulan daripada perancang utama, polis turut menyerbu dua lagi penempatan di Petaling Jaya sebelum menangkap dua lagi lelaki warga Nigeria dipercayai ahli sindiket itu.

“Polis dalam serbuan ketiga di Sungai Besi telah menahan wanita Uganda berusia 34 tahun, juga dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Menurut Chez Chiang, sindiket itu beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu dengan menjual dadah yang dibawa masuk dari negara jiran berdasarkan permintaan yang diterima.

“Siasatan awal polis mendapati tiga pelajar berkenaan masih mempunyai pasport sah atas lawatan sosial manakala seorang pelajar telah tamat tempoh visa.

“Perancang utama itu merupakan bekas graduan Pengurusan Perniagaan dari sebuah kolej swasta di sekitar Cheras.

“Modus operandi mereka, akan cari sesiapa sahaja yang mempunyai bekalan ganja untuk dijual atas permintaan di sini dengan tujuan mendapatkan wang perbelanjaan, namun mereka berjaya ditumpaskan juga,” katanya. – MalaysiaGazette