Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 450 juta.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, jangkaan perbelanjaan itu menunjukkan peningkatan berbanding RM400 juta yang diperuntukkan dalam Pilihan Raya 2013.
Katanya, SPR telah bersedia untuk mengadakan pilihan raya dengan semua peralatan telah dibeli selain sibuk memberi taklimat kepada petugas di seluruh negara.
Kwong Wah Yit Poh melaporkan, bahang pilihan raya juga semakin dirasai SPR apabila pelbagai cemuhan muncul demi mempertikaikan kredibiliti SPR.
“Semakin banyak isu akan timbul apabila semakin dekat tarikh pilihan raya.
“Mereka akan mengitar semula benda lama seperti pengundi hantu dan pilihan raya yang kotor,” kata Mohd. Hashim.
Katanya, SPR akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi jika mengesan kenyataan atau mesej yang berunsur hasutan dan fitnah.
Menurutnya, sebaran khabar angin kononnya berlaku kejadian gangguan bekalan elektrik di Bentong dan pengundi warga Bangladesh pada Pilihan Raya 2008 telah menjejaskan imej negara.
“Ini semua adalah cerita rekaan semata-mata yang merupakan fitnah,” kata Mohd. Hasim, sambil menjelaskan bahawa ‘insiden bekalan elektrik terputus di Bentong’ adalah penipuan yang berpunca daripada pengubahan atau edit ke atas gambar.
Mohd. Hashim berkata, media sosial telah disalah guna untuk menyebar fitnah dan berita palsu semasa Pilihan Raya 2008.
Beliau berkata, walaupun berasa tertekan dengan amanah yang diberikan, tetapi Pilihan Raya Negeri Sarawak telah memberi pengalaman yang baik kepadanya untuk mengadakan PRU-14.