Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi tempoh 48 jam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memohon maaf ekoran kenyataan `penahanan haram oleh SPRM’ merujuk kepada penahanan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Guan Eng gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Menurutnya, SPRM memandang serius kenyataan `penahanan haram’ yang dibuat Guan Eng itu yang berunsur fitnah.

“SPRM turut percaya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Boon Poh menyatakan penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘penahanan haram’,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, SPRM telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu berikutan keputusan mahkamah yang membatalkan penahanan reman Boon Poh.

Katanya, memandangkan rayuan itu masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah, maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 14 Ogos selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah.- MalaysiaGazette