PULAU PINANG – Sepasang suami isteri mengaut keuntungan kira-kira RM1.8 juta hasil penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dijalankan mereka di sebuah kilang di Kampung Batu, Bayan Lepas sejak setahun lalu.

Kegiatan memindahkan LPG 12 dan 14 kilogram (kg) ke dalam tong 50 kg itu dilakukan pasangan yang masing-masing berusia 47 tahun berkenaan di bahagian bawah tanah kilang tersebut yang dikawal beberapa ekor anjing.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 10 malam tadi.

Timbalan Pengarah (Cawangan Pencegahan dan Risikan) KPDNKK, Suhaimi Mat Sari berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebanyak 1,400 tong LPG; empat buah lori dan peralatan lain yang berjumlah kira-kira RM500,000.

Turut ditahan, ujar beliau, empat lelaki warga Indonesia berumur antara 20 hingga 30-an dipercayai pekerja kepada pasangan berkenaan.

“Daripada pemantauan kita, setiap tong 50 kg yang dipindahkan dalam tempoh hanya 30 minit itu boleh dijual sehingga RM180.

“Ini bermakna pasangan suami isteri berkenaan mampu mengaut keuntungan lebih RM150,000 sebulan daripada kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Suhaimi, siasatan pihaknya juga mendapati suspek menggunakan pendingin hawa berkuasa tinggi semasa memindahkan LPG bagi memastikan suhu di premis itu sentiasa berada di bawah paras beku.

Ujarnya, kaedah itu adalah taktik terbaharu memandangkan sebelum ini premis haram memindahkan LPG menggunakan ais sebagai alat penyejuk silinder tog gas semasa proses pemindahan.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM1 juta atau penjara tiga tahun setiap orang.- MalaysiaGazette