PETALING JAYA – Pengarah kreatif upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Saw Teong Hin terharu dengan pujian yang diterima berhubung dengan persembahan seni yang menonjolkan persamaan dalam kepelbagaian itu.

Teong Hin memberitahu Sinchew Daily, beliau gembira apabila mendapat maklum balas yang baik melalui media sosial dan penonton di Stadium Bukit Jalil.

Beliau juga berasa bangga apabila rakyat Malaysia dapat mengenali, meneroka sera menikmati keunikan budaya di Malaysia melalui persembahan yang diadakan.

“Walaupun kita berbeza, tetapi mempunyai banyak persamaan.

“Saya menggunakan peluang yang ada untuk membolehkan rakyat Malaysia saling mengenali budaya masing-masing,” katanya yang juga pengarah filem Puteri Gunung Ledang.

Katanya, upacara pembukaan temasya sukan itu membawa tarian, gendang dan seni pertahanan diri yang melambangkan pelbagai kaum di negara ini.

“Apabila menerima tanggungjawab yang diberikan, fikiran pertama dalam otak ialah mahu menonjolkan kepelbagaian dan perpaduan negara ini,” katanya.

Menurutnya, raptai telah dijalankan seawal Mac dan cabaran terbesar ialah menyelaraskan peranan hampir 6,000 orang yang terdiri daripada sukarelawan, atlet, peserta persembahan dan penguat kuasa.

Ditanya mengenai Nur Dhabitah Sabri yang terpilih untuk menyalakan obor, Teong Hin berkata, ia merupakan pilihan Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya boleh katakan ia merupakan pilihan selepas perbincangan secara berpasukan, dan ada sebabnya kenapa Nur Dhabitah dipilih.

“Pandelela Rinong melambangkan juara masa kini, manakala Nur Dhabitah melambangkan masa depan kami,” katanya.- MalaysiaGazette